Kenangan di SMK Santubong
Assalammualaikum w.b.t
Hai, lama tak menulis dalam blog. Memandangkan saya terlupa password blog lama jadi saya terpaksa mencipta blog yang baharu sebagai ruang untuk saya menulis dan menukilkan kenangan sebagai seorang pendidik dalam kehidupan seorang guru biasawan.
Tahun 2019, ketika pertama kali ditugaskan mengajar di SMK Santubong, saya adalah seorang guru baharu yang bermula dari kosong. Ketika pertama kali melapor diri, PK Pentadbiran SMK Santubong, Cikgu Norlila Jamil sangat banyak membantu saya. Beliau mengambil saya dan adik di terminal bas Kuching dan membawa saya ke sekolah dan juga membantu saya mencari rumah sewa yang berdekatan dengan kawasan sekolah. Perasaan ketika itu adalah sangat bersyukur kerana ada orang yang sudi membantu saya menguruskan semua perkara yang ketika itu masih asing dengan kawasan Kuching. Ketika mula mengajar, saya mengenal banyak guru yang baik, antaranya Cikgu Salmah. Nama Cikgu Salmah akan sentiasa kekal dalam ingatan saya kerana ketika dalam kesulitan, beliau juga sering membantu saya bahkan selalu memberi nasihat yang berguna. Masuk mengajar ke kelas, saya mula beradaptasi dengan murid-murid yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Guru muda yang baru sahaja bertugas, semangatnya membara jadi saya rajin membuat banyak aktiviti dengan murid tetapi adakalanya saya hampir berputus asa ketika ada murid yang ingkar arahan. Sekarang, saya sudah terbiasa dan pengalaman mengajar saya bahawa setiap murid yang kita ajar, mempunyai kisah tersendiri. Seorang guru senior pernah berkata, ajarlah murid dengan ikhlas dan cinta, nanti mereka juga akan dapat merasai keikhlasan tersebut. Benar apa yang dikata, apabila murid yang pada awalnya nakal dan ingkar mulai berlembut hati, hanya Allah yang mengetahui apa yang saya rasakan. Saya mula suka mengajar kelas belakang kerana mencabar. Pada tahun 2022, saya ditugaskan menjadi guru kelas untuk kelas 5 Dedikasi. Saya sayang kelas itu dan saya berusaha untuk memastikan semua murid saya lulus dalam SPM bagi subjek Bahasa Melayu. Dan benar, ada yang dapat A untuk subjek Bahasa Melayu. teringat pula ketika saya pergi berziarah ke rumah murid-murid yang selalu tidak hadir bahkan sehingga menaiki perahu untuk ke seberang sungai, anak-anak ini benar-benar menyentuh hati saya. Ketika berziarah, pelbagai buah tangan diberi. Ada yang ibu mereka menyiapkan banyak makanan untuk dihidangkan, sungguh hebat bagi saya budi pekerti seperti ini. Saya berdoa semoga semua murid saya mempunyai masa depan yang baik.
Murid-murid yang pernah saya ajar, walau di mana pun kalian berada. Semoga hanya yang baik-baik sahaja untuk kalian semua.
Ulasan
Catat Ulasan